Lintah dikenali sebagai haiwan inverterbrata iaitu haiwan tidak bertulang dan tidak berkaki. Ia boleh ditemui dengan pelbagai saiz iaitu 5mm hingga 450mm apabila memanjang. Badan lintah adalah leper dan mempunyai dua penghisap di kedua-dua hujung badannya. Saiz penghisap hadapan lebih kecil dari penghisap belakang.Penghisap hadapan (interior Sucker) berfungsi sebagai alat pengesan cahaya, haba, pergerakan dan lain-lain bagi tujuan permakanan/menghisap darah. Manakala penghisap belakang (Posterior Sucker) berfungsi menyokong struktur bawah badan semasa bergerak atau melekat pada sesuatu permukaan serta membantu pergerakannya (seperti ulat beluncas). Terdapat 650 spesis lintah yang diketahui tetapi tidak semua sesuai digunakan dalam bidang perubatan. Mengikut kajian oleh Universiti Malaysia Terengganu pada tahun 2007, lintah yang biasa digunakan dalam perubatan Malaysia dan selalu ditemui ialah Hirudinaria Manillensis. Lintah telah lama diketahui keistimewaannya dalam bidang perubatan sejak berabad-abad yang lampau sehingga kini. Khasiatnya terbukti dalam menggalakkan peredaran darah dan menghalang pembekuan darah. Ia juga banyak digunakan dalam pembedahan mikro (kecil) seperti dalam kes penyambungan anggota badan, menampal tisu kulit baru pada kulit yang rosak seperti kulit terbakar dan lain-lain rawatan lagi. |